50 Kesalahan Tentang Solat

50 Kesalahan Tentang Solat

Membetulkan kebiasaan yang salah dan meluruskan kesalahan yang dibiasakan!
 



Mukaddimah

Segala puji bagi Allah; Tuhan Yang Maha Esa lagiMahaperkasa; Yang Mahamulia lagi Maha Memaafkan.Tuhan Yang Memasukkan malam ke dalam siang sebagai peringatan bagi Ulul Qulub ’orang yang memiliki hati yang bersih dan Ulul Abshar ’orang yang memiliki pandangan yang tajam, serta sebagai pelajaran bagi Ulul Albab ’orang-orang yang berakal dan Ulul I’tibar ’orang yang suka merenungkan ciptaan Allah’. Peringatan yang menggugah orang-orang pilihan-Nya. Kemudian, menjadikan mereka berzuhud di dunia, selalu merasa diawasi-Nya, selalu berfikir, berhati-hati dan ingat. Mereka diberi taufik untuk selalu mentaati-Nya, berjuang untuk kampung abadi, menghindariapa yang dimurkai-Nya, mementingkan akhirat, dan senantiasa menjaganya dalam segala perubahan keadaan dan masa.

Aku memuji-Nya dengan segala puji dan dengan pujian yang paling murni, lengkap, dan menyeluruh.  Aku bersaksi bahwa tidak ada Tuhan, kecuali Allah. Tuhan Yang Mahamulia dan Mahalembut lagi Maha Bijaksana. Dan aku bersaksi bahwa Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya, kekasih dan khalil-Nya. Seorang Nabi yang menuntun ke jalan yang lurus, penyeru kepada agama yang benar. Semoga Allah memberikan keselamatan kepada para nabi, keluarga, dan semua orang yang shalih.

Amma ba’du:  

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,

Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku. Aku tidak menghendaki rezeki sedikitpun dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi Aku makan.” (Az-Zariyat: 56-57)

Ayat ini jelas menunjukkan bahwa mereka diciptakan untuk beribadah, maka mereka harus memperhatikan untuk apamereka diciptakan dan menghindari ketamakan kepada dunia dengan Cara berzuhud. Dunia adalah tempat yang akanhancur, bukan tempat yang abadi; kenderaan untuk menyeberang, bukan tempat tinggal; tempat untuk berpisah, bukan tempat untuk bertemu selamanya. Oleh kerana itu, ahli ibadah adalah orang yang paling baik dan selalu sedar dengan tujuan penciptaannya. Orang yang paling berakal di dalamnya adalah orang-orang zuhud.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,

Sesungguhnya perumpamaan kehidupan duniawi itu adalah seperti air (hujan) yang Kami turunkan dari langit, lalu tumbuhlah dengan suburnya kerana air itu tanaman-tanaman bumi. Di antaranya ada yang dimakan manusia dan binatang ternak hingga apabila bumi itu telah sempurna keindahannya dan perhiasannya, pemilik-pemiliknya mengira bahwa mereka pasti menguasainya. Tiba-tiba datanglah kepadanya azab Kami di waktu malam atau siang, lalu Kami jadikan (tanaman-tanamannya) laksana tanaman-tanaman yangsudah disabit. Seakan-akan belum pernah tumbuh kelmarin.Demikianlah Kami menjelaskan tanda-tanda kekuasaan (Kami) kepada orang-orang berfikir. ” (Yunus: 24)

Ayat-ayat lain yang semakna dengan ini sangat banyak.

Alangkah indahnya perkataan seorang penyair:

Sesungguhnya Allah mempunyai hamba-hamba yang cerdas
Menceraikan dunia dan takut fitnah
Mereka melihat, dan setelah tahu bahwa di dalamnya tidak ada tempat untuk hidup, mereka pun menganggapnya sebagai lautan luas
Menjadikan amal shalih di dalamnya sebagai bahtera

Sesungguhnya amalan pertama manusia yang akan dihisabkelak oleh Allah pada hari kiamat adalah solat, jika sempurna solatnya maka dianggaplah kesemua amal ibadahnya sempurna, tapi apabila rosak solatnya maka Allah akan meneliti setiap amalan hamba tersebut hingga sedetail-detailnya. (HR. An. Nasa'ie 463).

Ramai manusia yang solat tapi tidak mengambil berat tentang urusan solatnya. Solat mereka hanyalah solat yang sekadar "gugur kewajipan” sahaja, atau solat sambil lewa. Sehingga tanpa disedarinya, banyak perkara-perkara yang terlupakan atau terabaikan di dalam solatnya yang akan mencacatkan solatnya sehingga solatnya tiada nilai di sisi Allah, atau bahkan sama sekali ditolak oleh Allah S.W.T. Keadaan ini bersesuaian dengan hadis Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:”Tiadalah seorang hamba yang berganjak dari tempat solatnya melainkan ditulis baginya pahala hanya sepersepuluhnya, seperlapannya, seperenamnya, seperlimanya, seperempatnya, sepertiga atau setengah daripadanya sahaja” (HR. Abu Daud, sohih)
Oleh itu, adalah merupakan satu kewajipan bagi kita untuk sama-sama melihat kembali, menilai dan kemudian memperbaiki segala sisi kekurangan atau ketidaksempurnaan kita pada perkara-perkara yang melibatkan urusan solat.

Pada kesempatan kali ini, kita mencuba untuk meluruskan atau memperbetulkan kembali sekurangnya 50 perkara yang salah atau keliru di dalam solat yang dengan atau tidak disengaja ianya kita lakukan di dalam solat keseharian kita.

1.

Kebiasaan buruk pada suka melambat-lambatkan (menta’khirkan) waktu solat.

Cubalah kita perhatikan firman Allah di dalam al-Qur’an surah An-Nisa (4) ayat 103, di mana Allah menekankan bahawa ”Solat itu adalah suatu kewajipan ke atas semua orang-orang yang beriman yang telah ditetapkan waktunya”. Ianya membawa makna bahawa seseorangyang dengan sengaja melambat-lambatkan solatnya tanpa suatu alasan yang syar’ie, maka bererti ia telah mengabaikan perintah Allah dengan sengaja, dantentunya ia berdosa. Lihat lagi pada surah Al-Baqarah (2) ayat 238 yang bermakna: Jagalah olehmu kesemua solat, dan terutama lagi solat yang berada dipertengahan (solat Asar), dan berdirilah kamu sekelian di dalam solatmu dengan khusyuk kerana Allah". Ayat ini menekankan kita pada perintah untuk menjaga kesemua aspek solat, yang bermakna Allah memerintahkan kita untuk menjaga kesempurnaan solat kita, termasuk padanya iaitu menjaga ketepatan waktu solat.

2.

Mengerjakan solat seperti solatnya orang yang malas atau solatnya orang yang terpaksa.

Saudaraku yang dikasihi, tahukah kita bahawa di antara ciri orang munafiq yang dimurkai oleh Allah adalahmereka yang apabila mengerjakan solat maka dia mengerjakannya dengan keadaan terpaksa dan setengah hati atau malas. Sila baca dan perhatikan firman Allah dalam surah An-Nisa (4) ayat 142: "Sesungguhnya orang-orang munafiq itu sentiasa mereka mempersenda-sendakan (agama) Allah, padahal sesungguhnya Allah telah menjadikan mereka mempersenda-sendakan diri mereka sendiri, dan apabila mereka bangun mengerjakan solat maka mereka mengerjakannya dengan penuh rasa malas. Mereka kerjakan solat itu hanya kerana ingin menunjuk-nunjuk kepada manusia, dan tiadalah mereka mengingati Allah di dalam solat mereka melainkan hanya sedikit sahaja”.

3.

Bagi lelaki yang tiada uzur syar’ie, dengan sengaja memandang remeh dan membiasakan diri untuk tidak solat berjemaah.

Saudaraku yang dicintai Allah, solat-berjemaah adalahmerupakan satu syiar lslam yang hari ini sudah banyak dilupakan manusia, bahkan dianggap tidak perlu."AlIahul Musta’an...!” Begitu besarnya manfaat dan keutamaan yang diberikan Allah kepada hamba-hamba-Nya yang sentiasa menjaga solat berjemaah, sehingga Rasulullah S.A.W. dalam hadis yang sohih riwayat Bukhari Muslim menegaskan: ”Demi waku yang berada pada tangan-Nya (Demi Allah), sungguh aku teringin untuk memerintahkan manusia agar mengumpulkan kayu bakar maka kemudian terkumpullah kayu bakar tersebut.Kemudian aku perintahkan untuk terlebih dahulu mengerjakan solat, maka kemudian dilaungkanlah azan dan aku perintahkan seseorang untuk menjadi imam bagi mereka pada solat tersebut. Kemudian (apabila telah selesai daripada menunaikan solat itu) aku akanberpaling dan beredar untuk mendatangi rumah-rumah manusia di mana para lelaki mereka (dengan sengaja) tidak mendatangi solat berjemaah (bersama kami), kemudian aku akan bakar ke atas mereka rumah-rumah mereka itu! (HR. Bukhari Muslim). Perhatikanlah amaran ini wahai saudaraku! Rasulullah mengecam bahkan hampir-hampir bersedia untuk membakar rumah orang-orang yang tidak mahu berjemaah dalam solat mereka. Dan masih banyak hadis-hadis Nabi yang sifatnya memerintahkan kita untuk sentiasa solat berjemaah. Sila rujuk kepada pengajar untuk keterangan lebih jelas mengenai perkara ini.

4.

Solat dengan memakai pakaian yang ketat/nipis yang menampakkan lekuk tubuh.

Saudaraku yang dikasihi, ketahuilah bahawa apabila kita solat hakikatnya kita sedang menghadap Allah yang Maha agung. Maka jagalah tertib dan kesopanan kita apabila menghadap-Nya di dalam solat kita. Hukum memakai pakaian yang ketat dan menunjukkan lekuk tubuh bagi lelaki adalah ”Dibenci oleh Allah” (Makruh Tahrim) sama ada dilihat dari sudut pandang syariah mahupun dari segi kesihatan. Memakai pakaian yang ketat akan menyusahkan si pemakai untuk bergerak, sehingga dikeranakan dia susah untuk melakukan pergerakan di dalam solat maka sama ada dia akan menta’khirkan solatnya atau bahkan sanggup meninggalkan solat! Nauzubillah..!

Sebahagian lagi, solat dengan pakaian atau seluar yang ketat sehingga ketika dia sujud maka nampaklah auratnya, tertarik ke atas bajunya dan turun ke bawah seluarnya sehingga menampakkan seluar dalam yang dipakainya dan bahagian tubuh yang wajib ditutup ketika seseorang itu solat. Kalau sudah demikian, maka tentu BATAL lah solatnya! Laa haula wa laa quwwata illa billah..! Sudah sedemikian jauhnya kah kita daripada merasa malu kepada Allah??

5.

Tiada tuma’ninah (tenang) di dalam solat.

lni juga adalah penyakit orang solat yang sudah sekian lama menjalar dalam tubuh kebanyakan umat Islam dewasa ini. Saudaraku, Tuma’ninah adalah merupakan RUKUN SOLAT yang sekiranya tidak ditunaikan ia di dalam solat maka Batal lah solat tersebut!

Tuma’ninah bermakna ”Tenang dan tidak terburu-buru" dalam melakukan pergerakan atau perpindahan gerak di dalam solat. Ertinya, setiap kali kita akan berpindah dari satu pergerakan ke pergerakan lain di dalam solat, maka wajib hukumnya untuk tenang terlebih dahulu dan kemudian baru bergerak menuju pergerakan sesudahnya.

Rasulullah S.A.W. pernah memerintahkan seseorang untuk mengulang solatnya berulang kali kerana orang tersebut solat dengan tiada Tuma’ninah. (HR. Muslim).

6.

Sengaja bergerak mendahului imam atau bersama-samaimam di dalam solat berjemaah.

Rasulullah S.A.W. bersabda: ”Sesungguhnya Imam itu dijadikan di dalam solat agar dia diikuti, makasekiranya dia (imam) bertakbir, maka bertakbirlah kamu dan jangan sesekali kamu bertakbir sehingga sempurna takbir imam” (HR. Bukhari Muslim).
Hadis ini menekankan pada perintah bagi makmum untuk tidak bergerak sehinggalah imam sempurna padagerakannya. Bahkan dalam hadis lain Rasulullah bersabda: ”Tidakkah tiada merasa takut mereka orang-orang yang mengangkat kepala mereka/bergerak mendahului imam kalau Allah akan mengganti kepalanya kelak di hari kiamat dengan kepala keldai?”(H-R. Bukhari II/182 no. 691 dan Muslim I/320 no. 427).

7.

Berdiri untuk melengkapi bilangan rakaat yang tertinggal, padahal imam belum menyempurnakan salamnya.

Saudaraku, di antara Sunnah Rasul yang kerap diabaikan oleh kebanyakan manusia pada hari ini adalah makmum tergesa-gesa untuk bangun untuk menyempurnakan bilangan rakaat yang masih tertinggal, padahal imam masih belum menyempurnakan salamnya hingga habis sempurna imam salam ke sebelah kirinya. Tunggulah hingga sempurna salam imam, maka barulah anda berdiri untuk menambah bilangan rakaat yang tertinggal.

8.

Membaca bacaan di dalam solat dengan keras sehingga mengganggu jemaah lainnya.

Saudaraku yang dikasihi, tidaklah salah apabila setiap daripada kita berusaha untuk khusyuk di dalam solatnya,tapi janganlah usaha untuk menuju solat khusyuk tersebut menjadikan orang lain yang berada di sebelah kanan dan kiri kita menjadi terganggu oleh kita. Contohnya, mengeraskan bacaan Al-Fatihah dan surah, membaca bacaan zikir pada setiap pergerakan rukun solat dan hal-hal perkara lainnya yang menyebabkan orang lain merasa tidak selesa atau terganggu dengan perbuatan kita. Jagalah adab dan kesopanan dalam berjemaah sehingga semua daripada kita dapat meraih solat yang khusyuk.

9.

Memandang ke atas ketika solat tanpa suatu keperluan yang dibenarkan oleh syariat.

Di antara perkara yang menjadi kebiasaan sebahagian manusia di dalam solatnya adalah ketika solat dia menengadahkan kepalanya ke atas tanpa adanya satu keperluan yang munasabah yang dibenarkan oleh syariat.Dalam sebuah hadis Nabi S.A.W. baginda bersabda:Hendaklah segera menghentikan mereka orang-orang yang membiasakan diri mereka untuk melihat ke atas (di saat dia solat), atau Allah tidak akan mengembalikan kembali pandangan mereka (Buta) selamanya!” (HR. Bukhari 1/191)

10.

Melihat ke kanan dan ke kiri atau ke sekeliling ketika imam membaca surah.

Ini juga adalah salah satu perbuatan yang dibenci di dalam syariat solat, kerana tanpa disedari sesungguhnya syaitan telah mencuri daripadanya banyak kebaikan atau pahala yang telah didapatkannya di dalam solat akibat dia tidak menjaga matanya dan suka melihat ke sekelilingnya tanpa suatu keperluan. Perbuatan ini disebut sebagai lkhtilas".
Nabi S.A.W. bersabda: ”Yang sedemikian itu (menolehkan kepala/melihat ke kanan dan ke kiri di dalam solat) adalah ”Ikhtilas” iaitu pencurian yang dilakukan oleh syaitan kepada seorang hamba di dalam solatnya (HR. Bukhari 2/234)

11.

Banyak melakukan perbuatan yang tidak perlu yang bukan perbuatan solat.

Gambaran zahir seorang yang tidak ikhlas di dalam solatnya adalah dapat dikesan dari banyaknya pergerakan yang dilakukannya ketika solat, seakan-akan dia ingin segera menghabiskan solatnya. Seumpama orang yang merasa solat baginya adalah satu beban yang sangat berat yang mesti dipikulnya, sehingga dia ingin segera menyudahi atau mengakhiri solatnya. Sehingga apabila selesai dia dari mengerjakan solat tersebut, maka dia merasa seakan sudah terbebas dari kekangan yang mengekang dirinya selama dia solat. Subhaan AlIah..!

12.

Melintas atau lalu di hadapan orang yang tengah mengerjakan solat.

Saudaraku yang dikasihi, ketahuilah olehmu bahawa di antara senarai dosa-dosa yang dikategorikan sebagai dosa besar di antaranya adalah sengaja melintas atau lalu di hadapan orang yang sedang menunaikan solat. Rasulullah S.A.W. bersabda: ”Seandainya manusia mengetahui betapa besar dosanya pada melintas atau lalu di hadapan orang yang sedang menunaikan solat, nescaya untuk berdiri dan menunggu orang tersebut hingga selesai ia menunaikan solatnya, walaupun dia harus menunggu sampai 40 tahun, maka adalah lebih baik baginya daripada dia harus melintas atau lalu di hadapan orang yang sedang solat tersebut”. (HR. Muttafaq Alaih).

13.

Melangkahi bahu para jemaah yang sedang mendengar khutbah Jumaat di saat khutbah sedang disampaikan.

Perbuatan ini juga adalah satu kesilapan yang umumterjadi di tengah masyarakat. Ianya dikeranakan kesilapan dua belah pihak, iaitu antara makmum yang datang awal tapi tak suka duduk di shof depan, bahkan suka mencari atau duduk di shof belakang atas pelbagai alasan, dan di antara makmum yang datangmasbuq/terlambat iaitu ketika khutbah sedang disampaikan walhal dirinya ingin masuk ke dalam masjid atau sahaja mencari shof di depan kerana shof di belakang sudah habis ditempati oleh makmum yang datang awal tadi. Ini satu lagi contoh pada kejahilan umat Islam hari ini pada memahami betapa pentingnya kedudukan shof dalam solat berjemaah pada menentukan kualiti ibadah solat seseorang. Rasulullah S.A.W. menegah perbuatan ini dalam sebuah hadis beliau:Daripada Abdillah bin Busr, bahawasanya seorang Ielaki datang menuju Rasulullah S.A.W pada hari Jumaat dengan melangkahi bahu-bahu para jemaah yang sedang mendengar khutbah Rasulullah S.A.W,sedangkan pada waktu itu Rasulullah sedang berkhutbah. Kemudian Nabi bersabda: ”Duduklah! Sesungguhnya kamu telah menyakiti orang lain (yang sedang mendengar khutbah), walhal kamu sendiri datang terlambat (HR. Nasa’ie, Abu Daud, Ahmad dan Hakim dengan sanad yang Sohih).

14.

Mengutamakan orang lain dalam masalah ibadah.

Saudaraku yang dikasihi Allah, sesungguhnya di dalam mencari keutamaan/fadhilah pada melakukan suatu ibadah, tidak berlaku padanya "’Mengutamakan orang lain”, kerana dalam Islam Allah menuntut kita untuk saling berlumba-lumba pada mencapai kebaikan dan keutamaan. Ianya sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah dalam al-Qur’an surah al-Baqarah (2) ayat 148yang bermaksud  "Maka berlumba-lumbalah kamu dalam mencapai kebaikan (dalam perkara kebaikan)”.Contoh dalam masyarakat kita mengutamakan orang lain dalam hal ibadah yang salah, di antaranya;mengutamakan orang lain untuk maju dan mengisi shof di hadapan, padahal dia sepatutnya yang berusaha untuk menempati shof tersebut. Mengutamakan orang lain untuk membantu anak yatim, padahal dia mampu untuk membantu anak yatim tersebut, dan banyak contoh-contoh lain berkenaan dengan pemahaman yang salah tentang mengutamakan orang lain dalam perkara ibadah.

15.

Sengaja tidak mengikuti keadaan imam ketika masbuq.

Di antara kesilapan yang lazim terjadi dalam masyarakat kita hari ini adalah, apabila seseorang itu datang masbuq/terlambat dalam berjemaah solat dan dia menemui imam dalam satu keadaan, maka dia tidak mengikutinya bahkan menunggu hingga imam berdirikembali ke rakaat berikutnya. Ini satu kesalahan akibat dari ketidak fahaman kita mengenai solat. Sesungguhnya pada setiap pergerakan solat bersama imam padanya nilai dan pahala tersendiri, jadi jika seseorang sengaja tidak mengikut imam dan hanya memulakan solat dan bersama imam bila imam berdiri kembali ke rakaat selanjutnya, maka bererti dia sudah kehilangan banyak fadhilah/keutamaan yang disediakan Allah pada setiap pergerakan bersama imam tersebut. Rasulullah S.A.W. bersabda: ”Jika salah seorang di antaramu mendatangi solat, dan dia melihat imam dalam satu keadaan, maka hendaklah dia melakukan sebagaimana apa yang dilakukan oleh imam”(HR. Tirmidzi dan Abu Daud).

16.

Memejamkan mata ketika qiyam/berdiri di dalam solat tanpa alasan yang syar’ie.

Sesungguhnya Jumhur (majority) ulama memakruhkan (membenci) perbuatan memejamkan mata ketika solat tanpa alasan yang dibenarkan oleh syariat. Syariat mengajar kita ketika solat untuk melihat tempat sujud dan bukan memejamkan mata, melainkan jika sekiranya terdapat perkara-perkara yang mengganggu kekhusyukan kita jika kita membuka mata, maka ketika itu memejamkan mata adalah ”Mustahab” (disukai).

17.

Tidak meluruskan shof ketika akan memulakan solat berjemaah.

Rasulullah S.A.W. bersabda: ”Luruskanlah barisan/shof kamu kerana sesungguhnya meluruskan dan merapatkan shof itu adalah syarat utama pada kesempurnaan solat” (HR. Bukhari Muslim).

18.

Sujud dengan tidak sempurna.

Sujud dikatakan sempurna hanyalah dengan menyentuhkan ke tujuh anggota badan ke tempat sujud dengan tanpa sedikitpun merenggangkannya apalagi mengangkatnya. Marilah perhatikan perintah Rasulullah S.A.W. dalam hadis Beliau: "Diriku diperintahkan Allah untuk sujud atas tujuh anggota tubuh, iaitu atas dahi (sambil beliau mengisyaratkan dengan tangan beliau hingga ke hidung), kedua telapak tangan, kedua lutut, dan kedua hujung kaki”. (HR Bukhari Muslim).

19.

Solat memakai baju/pakaian yang bergambar atau tulisan yang mengganggu orang jemaah sekitarnya.

Dalam banyak keterangan Hadis Rasulullah S.A.W, baginda meminta Aisyah RA isteri beliau agar memindahkan dan menurunkan kain cadar atau kain pembatas ruangan yang padanya terdapat gambar atau lukisan yang mengganggu konsentrasi/ khusyuk beliau ketika solat. (HR. Bukhari I/105).  

20.

Solat dengan tidak meletakkan sutrah/pembatas di hadapannya (kalau solat bersendirian).

Saudaraku, meletakkan "'Sutrah” atau pembatas di hadapan kita solat yang diletakkan antara tempat kita sujud dan sedikit jarak di hadapannya adalah merupakan Sunnah Rasulullah yang hari ini sudahpun dilupakan oleh kebanyakan umat Islam. lanya amat sangat penting sebagai isyarat kepada siapapun yang akan lalu di hadapan  orang solat agar tidak lalu di hadapan mereka melainkan di luar dari batas sutrah yang diletakkan antara tempat sujud dan sutrah tersebut.
Rasulullah memerintahkan kita untuk meletakkan sutrah/pembatas ketika solat walau hanya dengan membuat garisan atau dengan apa sahaja yang dapat membatasi kita solat dengan jarak yang ada antara kita dengan orang yang akan lalu di hadapannya. (HR. Ahmad, lbnu Majah dan Hakim).

21.

Bagi lelaki dilarang keras untuk memanjangkan kain/seluar sehingga menutup buku lali/ISBAL.

Fenomena isbal/menutup buku lali ketika solat adalah fenomena yang terlepas pandang dari umat Islam hari ini, padahal ia adalah perkara yang sangat penting untukdiingatkan, kerana kebiasaan buruk ini membawa kepada kemurkaan Allah dan mempengaruhi pada sah atau tidaknya solat seseorang.
Rasulullah S.A.W. bersabda: ”Sesungguhnya Allah tidakmenerima solat seorang lelaki yang memakai kaindengan Isbal/memanjangkannya hingga menutup buku lali.” (HR Abu Daud I/172 no. 638).
Lagi Rasulullah bersabda: ”mana-mana kain/pakaian yang melebihi buku lali, maka pelakunya akan berada di Neraka!” (HR. Bukhari 5887)

22.

Duduk antara dua sujud dan tahiyyat tidak mengikut sunah Rasul yang sohih.

Di antara manusia ada yang duduk antara dua sujud atau tahiyyat seperti ekor ikan atau seperti duduknya orang yang malas. Sila rujuk kepada pengajar tentang bagaimana cara duduk Rasulullah yang sohih ketika solat.

23.

Tidak mengangkat tangan ketika Takbiratul Ihram, rukuk, berdiri untuk lktidal dan ketika bangun dari Tahiyyat Awal.

Telah Tsabit (tetap) keterangan dari Rasulullah S.A.W. bahawa beliau mengangkat tangan pada ke empat keadaan tersebut, iaitu ketika Takbirotul Ihram, ketika hendak rukuk, ketika bangun lktidal dan ketika bangun dari Tahiyyat Awal menuju rakaat ketiga. (HR. Bukhari 2/218 no. 735 dan Muslim 1/292 no. 390).

24.

Membaca Al-Fatihah dan surah dengan bacaan yang laju tanpa Tartil.

Surah Al-Fatihah adalah rukun solat yang wajib dibaca dengan sempurna. Sementara surah yang dibaca selepas Al-Fatihah adalah berfungsi untuk menambah nilai kesempurnaan solat kita di sisi Allah. Oleh itu, bacalah keduanya dengan sempurna iaitu dengan bacaan Tartil, iaitu bacaan secara perlahan dan tenang yang sesuai dengan hukum hakam bacaan yang baik dan benar sambil berusaha untuk memahami juga mentadabbur makna setiap ayat yang dibaca. Hal ini diperintahkan Allah S.W.T. dalam Al-Qur’an kepada kita iaitu pada surah Al-Muzzammil (73) ayat 4, Al-lsro(17) ayat 106 dan larangan Allah agar tidak membaca dengan laju tertera dalam surah Al-Qiyamah (75) ayat 16.

25.

Mengabaikan berzikir atau berwirid selepas solat.

Membaca wirid atau zikir selepas solat adalah merupakan Sunnah Rasulullah yang tiada pernah sekalipun ditinggalkan Rasulullah selepas beliau solat. Ia adalah pelengkap dari ritual solat yang baru sahaja ditunaikan agar Allah berkenan menyempurnakan segala kekurangan dan ketidak sempurnaan solat kita di saat kita melakukannya. Oleh itu, adalah merupakan satu bentuk kesombongan sekiranya seseorang selepas dia solat dia terus bangun dan beredar dari tempat solatnya tanpa sedikitpun membaca zikir atau wirid sebagaimana yang dicontohkan oleh Rasulullah S.A.W. Sila rujuk kepada pengajar tentang zikir dan wirid Nabi S.A.W. yang Baginda baca selepas solat.

26.

Masih duduk santai, bersembang atau bercakap-cakap ketika Iqomah solat dilaungkan.

Ketahuilah wahai saudaraku, di antara kebiasaan buruk dalam masyarakat Islam adalah mereka masih lagi duduk santai sambil bersembang atau bercakap-cakap ketika bilal telahpun melaungkan Iqomah sebagai tanda solat telah sedia untuk dilaksanakan. Padahal syariat mengajar kita untuk segera menuju, mengatur serta merapatkan shof untuk bersedia memulakan solat.

27.

Membaca lafaz ""Amin"' mendahului atau tidak bersama imam.  Rasulullah

S.A.W. mengajar para sahabat cara solat berjemaah, di antaranya apabila imam selesai daripada membaca surah Al-Fatihah pada kalimat ""Walad Dhollin.."’ maka jika makmum mendengar imam membaca amin... maka bacalah juga bersama-sama dengannya. Tidak boleh mendahului atau terlambat dari bacaan ""Amin”nya imam.
Allah S.W.T. menjanjikan kepada kita melalui hadis Nabi S.A.W. iaitu Maghfiroh/ampunan bagi sesiapa yang bacaan Aminnya bersama-sama imam di dalam solat.(HR. Muslim dalam kitab Sohih al-Jami’ no. 395).

28.

Memanjangkan bacaan “'Amin” melebihi dua (2) harakat mad.

Sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat sejak berzaman lamanya dan tiada satupun usaha untuk membetulkannya iaitu membiarkan makmum membaca lafaz "'Aamiin..."" melebihi dua harakat Mad. Sehingga dibaca panjang seperti halnya bunyi Mad Badal (sepanjang enam harakat) : ""AaaaaaaaaaMiiiiiiiin...” atau juga ada yang membaca seakan-akan ada sabdu di antara bunyi Aa dengan Mim seperti hukum bacaan Maad Lazim Muthaqqol Kalimiz AaaaaaaaaMmmmiiiiiiin...” pada ketiga bacaan di atas mempunyai makna yang berbeza antara satu bacaan dengan bacaan yang lain. Sila rujuk kepada pengajar agar lebih jelas perbezaannya dan untuk menentukan bagaimanakah bacaan yang sebenar.

29.

Tidak menjahrkan (mengeraskan) bacaan di waktu solat-solat yang Jahr.

Kaifiyah bacaan solat dalam solat fardhu terbahagi kepada dua jenis, iaitu solat-solat yang bacaannya dituntut untuk men-Jahr kannya (mengeraskan suara) dan solat-solat yang dituntut bagi kita untuk men-Sirr kannya (melirihkan suara). Kategori solat jahr adalah Subuh, Maghrib dan Isya, sementara kategori solat Sirr adalah Zuhur dan Asar. Bila kita melakukan solat yang dikategorikan sebagai solat jahr, maka kita mesti membaca bacaan surah di dalamnya juga dengan jahr (jelas dengan mengeluarkan suara), tapi kalau solat yang kita tunaikan itu adalah kategori solat Sirr, maka kita juga dituntut oleh syariat untuk membaca semua bacaan surah dalam solat tersebut secara Sirr (menyembunyikan suara).

30.

Makmum sibuk dan bising membaca surah Al-Fatihah ketika imam sedang membaca surah di dalam solat berjemaah.

Saudaraku yang dikasihi, sememangnya pada babmembaca Al-Fatihah di belakang imam ini telah berbeza padanya pandangan dan pendapat para Ulama Fiqh sehingga mencapai 30 pendapat. Tapi apa yang ingin digarisbawahi di sini adalah bagaimana kita tetap menjaga ketenangan di dalam solat berjemaah, sehingga bacaan seorang makmum tidak mengganggu bacaan makmum yang lain, dan bacaan makmum juga tidak mengganggu bacaan imam atau konsentrasi makmum lain yang ingin mendengar bacaan imam. Dinasihatkan kepada saudaraku yang dikasihi yang membaca Fatihah selepas bacaan Fatihah imam, agar membaca dengan suara selirih dan sehalus mungkin, agar kita sama-sama dapat merasakan nikmatnya berjemaah dan dapat merasakan indahnya kebersamaan dalam solat berjemaah, sehingga dengan ini tiada lagi alasan untuk tidak mengerjakan solat berjemaah hanya kerana (kononnya) tidak dapat khusyuk akibat makmum bising dan mengganggu dirinya ketika sedang solat.

31.

Menguap ketika solat.

Menguap di dalam solat kalau dibiasakan akan menjadi perkara yang dibenci oleh Allah (Makruh). Oleh itu,sekiranya seseorang terpaksa menguap dalam solatnya maka wajib baginya untuk menahannya sedaya upaya mungkin dan tidak membiarkannya apalagi sampai mengeluarkan bunyi atau suara ""Aaaaa...hhh..."". Ianya berdasarkan hadis Nabi S.A.W. yang bermaksud:"Perbuatan menguap itu adalah (tipu daya) syaitan, maka sesiapa yang menguap hendaklah dia menahannya sedaya upaya dia mampu untuk menahannya.” (HR. Muslim 4/152, Musnad Imam Ahmad 2/512, Jami’ Tlrmidzi 370).  

32.

Solat tanpa menutup kepala (songkok, kupiah, serban atau sejenisnya).

Saudaraku, walau tiada ianya diwajibkan oleh syariat iaitu menutup kepala ketika solat, tapi sesungguhnya ia adalah bentuk kesempurnaan zahir solat yang kita kerjakan dan juga merupakan perhiasan solat” yang patut kita pakai ketika kita solat menghadap Allah. Perhatikan Firman Allah berikut ini: ”wahai anak Adam, Ambillah (Pakailah) perhiasan kamu ketika setiap kali kamu solat, dan makanlah serta minumlah, tapijanganlah kamu berlebih-lebihan kerana sesungguhnya Allah membenci orang yang suka berlebih-lebihan.” (surah Al-A’raf: 31).  Rasulullah S.A.W. "Tidak pernah” solat tanpa sesuatu apapun yang menutupi kepala Baginda, kecuali ketika Baginda dalam keadaan Ihram sahaja. Oleh itu, Sunnat Muakkad hukumnya bagi setiap Muslim apabila dia solat untuk menutup kepalanya, dan juga ia adalah merupakan ”hiasan” yang patut digunakan seorang Muslim ketika ia menghadap Robb (Tuhan) nya. Perhatikanlah hadis Rasul ini:”...Sesungguhnya Allah lebih berhak untuk kamu berhias diri di hadapan-Nya” (HR. Thobrani dan Baihaqi dalam As-Sunan Al-Kubro 2/236)

33.

Membiasakan diri untuk tidak membaca doa "Iftitah” ketika dipermulaan solat.

Walaupun ia (membaca doa Iftitah) dihukumkan Sunat oleh Ulama fiqh, tapi jangan lupa bahawa Rasulullah S.A.W. tiada pernah meninggalkannya (iaitu membaca doa Iftitah) ketika beliau solat, sama ada dalam solat Fardhu ataupun solat yang Sunat.
Pelajari lagi tentang kepelbagaian doa Iftitah Rasulullah agar kita lebih memahami betapa luasnya Sunnah Rasul dan betapa banyaknya Sunnah Rasul yang terlepas pandang daripada kita.

34.

Bercakap dan tidak memperhatikan khutbah Jumaat.

Ini lagi satu penyakit dan kebiasaan buruk yang wajib dihapuskan dalam diri umat Islam hari ini, iaitu kebiasaan pada bercakap/ bersembang, makan minum, bermain HP, berbalas sms, membaca brocur/artikel atau apa sahaja pekerjaan di luar dari mendengar dan memperhatikan khutbah ketika khutbah Jumaat sedang disampaikan khatib Jumaat.
Tidak pernahkah sampai kepada kita teguran keras daripada Rasulullah S.A.W. berkenaan tentang larangan untuk melakukan aktiviti selain mendengar dan memperhatikan khutbah Jumaat? Rasulullah S.A.W. bersabda: ”Sesiapa yang bercakap-cakap ketika khutbah Jumaat sedang disampaikan dan imam tengahberkhutbah ketika itu, maka dia seperti seekor keldai yang membawa kitab (bodoh), sedangkan yang berkata ”Diamlah kamu” kepada kawannya (yang sedang bercakap) maka tiada sedikitpun baginya pahala Jumaat”. (HR. Ahmad 1/230 dan Mushonnaf lbnu Abi Syaibah 2/125).

35.

Membaca wirid selepas solat dengan suara keras, padahal masih ada beberapa orang jemaah yang solat untuk menyempurnakan rakaat mereka yang belum disempurnakan sehingga suara zikir dan wirid tersebut mengganggu solat mereka.

Mengganggu orang solat adalah HARAM hukumnya dengan apapun alasannya.  Ingat saudaraku, membaca wirid adalah sunat dan menghormati orang yang sedang solat adalah wajib, maka manakah yang lebih utama??

36.

Menepuk bahu seseorang yang solat sendirian supaya dapat berjemaah dengannya.

Sekiranya kita hendak berjemaah dengan seseorang yang sedang solat sendirian, maka janganlah kita menepuk bahunya sebagaimana yang lazim berlaku dalam masyarakat kita hari ini, melainkan cukup kita berdiri di sebelah kanannya (sama ada berdiri lurus setentang dengannnya ataupun boleh juga berdiri sedikit agak ke belakang daripadanya) kemudian kita bertakbir dengan sedikit mengeraskan suara sebagai isyarat kita kepada orang tersebut bahawa kita ingin berjemaah dengannya.

37.

Sengaja tidak mahu diajak untuk solat berjemaah.

Saudaraku, sesungguhnya seorang pencinta Sunnah Rasulullah S.A.W. akan berusaha untuk dapat sentiasa mengerjakan solat dengan berjemaah, kerana dia tahu betapa besarnya pahala dan keutamaan yang Allah sediakan bagi hamba-hamba-Nya yang sentiasa menjaga solatnya dengan berjemaah. Rasulullah bersabda: ”Solat berjemaah itu adalah lebih besar pahalanya sebanyak 27 kali ganda berbanding dengan solat sendirian”. (HR. Bukhari 1/166)
Cuba bayangkan, betapa ruginya mereka yang tak mahu solat berjemaah! Padahal Allah telah menyediakan pahala yang besar dan keutamaan yang berlipat kali ganda bagi sesiapa sahaja yang mahu solat berjemaah.  

38.

Melihat ke arah kedua kaki ketika rukuk.

Sering kali kita saksikan sebahagian orang ketika dia rukuk matanya tertuju dan melihat kedua kakinya, padahal sesungguhnya Rasulullah S.A.W. mengajar kita apabila kita rukuk mata kita tetap melihat ke arah tempat sujud sambil kita meluruskan tulang belakang (Tsulbi) kita. Untuk duduk tasyahhud, dalam keadaan ini kita ada dua pilihan iaitu sama ada mata memandang ke tempatsujud atau ke arah jari telunjuk kita. Inilah sunnahRasulullah S.A.W. dalam perkara rukuk dan duduk tasyahhud.

39.

Sujud dengan meletakkan kedua siku ke lantai.

Ini adalah kesilapan yang sudah mula tersebar di tengah kaum Muslimin hari ini, iaitu sujud dalam keadaan seperti seekor anjing yang tengah duduk, dengan menghamparkan siku kedua tangannya ketika sujud di atas lantai. Rasulullah S.A.W. bersabda: ”Jika kamu sujud, maka letakkanlah kedua tapak tanganmu dan angkatlah kedua siku lenganmu” (HR. Muslim). Dalam hadis yang lain Rasulullah bersabda: ”...dan janganlah salah seorang di antaramu menghamparkan kedua siku lengannya (ketika sujud) sebagaimana seekor anjing menghamparkan kedua kaki depannya (ketika duduk).(HR. Muslim dan Ahmad).

40.

Sujud terlalu lama pada sujud rakaat akhir, padahal dia solat berjemaah.

Saudaraku yang dikasihi, hendaklah kita membezakan keadaan kita di saat kita solat bersendirian dan solat berjemaah. Dalam solat berjemaah, maka kita diwajibkan untuk sentiasa mengikuti pergerakan imam, jangan mendahuluinya atau terlalu lambat sehingga seakan imam sudah mahu berpindah kepada rukun seterusnya maka baru kita bergerak, jangan! Rasulullah bersabda:”Sesungguhnya dijadikan Imam itu di dalam solat adalah untuk diikuti. ” (HR. Muttafaq Alaih). Melainkan jika kita solat bersendirian, maka silalah untuk sujud selama mana kita mampu. Tapi bila berjemaah, maka kita terikat peraturan solat berjemaah yang menuntut kita untuk mengikuti pergerakan imam.

41.

Tidak berdoa sebelum salam dengan doa yang diajar oleh Rasulullah S.A.W.

Ketika akhir solat, selepas membaca doa tasyahhud akhir, kebanyakan dari kaum Muslimin tidak membaca doa yang Rasulullah ajarkan, tetapi terus salam. Padahal, Rasulullah begitu menekankan kita untuk tidak pernah meninggalkannya di akhir bacaan tasyahhud akhir kitasebelum salam. Nabi bersabda: ”Jika salah seorang di antaramu telah selesai membaca tasyahhud akhir di dalam solatnya, maka hendaklah dia memohon perlindungan kepada Allah daripada empat (4) perkara. Kemudian Beliau bersabda: Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari seksa api neraka jahannam, dan dari seksa kubur, dan daripada Fitnah (dugaan)ketika hidup dan ketika mati, dan daripada Fitnah Dajjal.” (HR. Bukhari 3/241, Muslim bab Masjid no. 128, Ahmad 2/237).

42.

Masuk ke masjid dengan membawa bau yang akanmengganggu jemaah lainnya.  

Saudaraku, adalah sangat dibenci seseorang yang masuk ke rumah Allah untuk beribadah membawa bersamanya aroma/bau yang akan mengganggu kekhusyukkan orang yang berada di sekitarnya. Rasulullah dalam banyak hadis telah menegah mana-mana orang yang bila masuk masjid kemudian membawa bersamanya sebarang bau-bauan yang mengganggu orang lain agar tidak mendekati masjid dan tidak solat berjemaah bersama Rasulullah dan Sahabat nabi lainnya. Nabi bersabda: ”Barang siapa yang memakan dari pokok yang berbau (tak sedap) ini, maka janganlah dia mendekati masjid kami, sebab para malaikat akan terganggu (oleh bau tersebut) sebagaimana halnya orang lain juga terganggu”. (HR. Muslim dari Jabir 5/66, no. 68 bab "Al. Masajid").

43.

Menutup habis sutrah/pembatas antara jemaah lelaki dan wanita, sehingga jemaah wanita sama sekali tidak dapat melihat pergerakan jemaah di depannya melainkan hanya dengan menduga atau mengagak agak sahaja.

Wanita juga ada hak mereka pada melihat pergerakan Imam atau makmum lelaki di hadapannya, maka jika mereka dibatasi dengan sutrah yang menutup sama sekali pandangan mereka maka ini adalah satu kesalahan yang perlu kita luruskan. Kaum wanita dahulu yang solat berjemaah bersama Rasulullah hanya ditempatkan di belakang shof lelaki tanpa ada pembatas yang menghalang penglihatan antara mereka dan Rasulullah yang menjadi Imam kepada mereka di waktu solat. (HR. Bukhari 1/108 dan Muslim 2/137)  

44.

Membuat shof baru padahal shof yang di depan masih belum diisi sepenuhnya.

Perbuatan ini adalah tindakan yang jelas bertentangan dengan panduan Sunnah Rasulullah S.A.W. yang memerintahkan kita agar memenuhkan shof di depanterlebih dahulu sebelum memulakan shof yang baru di belakangnya.

45.

Membuat jemaah kedua, padahal masih ada jemaah pertama yang belum selesai.

Di antara kesalahan yang tersebar di tengah masyarakat adalah membuat jemaah yang baru padahal imam pada jemaah yang pertama masih belum menyelesaikan solatnya. Perkara ini adalah dibenci (Makruh) dalam Islam. Dalam perkara ini sepatutnya mereka ikut berjemaah bersama imam pertama walau mereka (jemaah pertama) sudah hampir habis atau hampir menyelesaikan solat mereka, atau menunggu hingga mereka menyelesaikan jemaah mereka dahulu baru kemudian memulakan jemaah baru.

46.

Membiarkan adanya shof yang kosong atau celah yang masih dapat diisi walau sempit.  

Rasulullah S.A.W. bersabda: ”Sesungguhnya Allah dan para MalaikatNya bersholawat (memberikan penghormatan dan kemuliaan) kepada sesiapa yang menyambung shof. Dan barang siapa yang menutup adanya celah yang kosong, maka Allah akan mengangkat derajatnya”. (HR. Ahmad, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Aisyah RA, Shohih Jami’ 1843).  

47.

Bercakap-cakap antara adzan dan lqomah bukan pada perkara yang mustahak.

Ianya adalah satu kerugian yang sangat besar, kerana Allah telah menjadikan di antara keduanya (antara Adzan dan lqomah) waktu yang di-Ijabah (didengar dan dikabulkan) oleh Allah doa bagi sesiapa yang berdoa di antara waktu tersebut. Perhatikan sabda Rasulullah S.A.W. berikut ini: ”Doa yang dipanjatkan antara adzan dan Iqomah tidak akan ditolak oleh Allah (HR. Abu Daud 521, Tirmidzi 3594, Ahmad).

48.

Solat sambil duduk dari awal solat, padahal masih boleh berdiri.

Qiyam (berdiri) di dalam solat adalah salah satu rukun solat. Jika seseorang duduk dalam solatnya tanpa alasan syar’ie (seperti sakit yang memang tidak membolehkan dia berdiri atau kalau dia berdiri akan memudaratkan dirinya), maka solatnya dianggap batal atau tidak sah.Pada perkara ini terdapat padanya kaedah Syar’ie yang mengaturnya, iaitu: Jika seseorang mampu berdiri tetapi tidak dapat rukuk atau sujud dengan sempurna, maka baginya tetap WAJIB berdiri terlebih dahulu, kemudian bila dia hendak rukuk atau sujud maka dia baru dibenarkan untuk duduk. Sila dapatkan keterangkan lebih lanjut dari pengajar.

49.

Sakit atau kerana bermusafir dijadikan alasan untukmeninggalkan solat.

Astaghfirullah..! ini benar-benar satu kebodohan dan kezaliman kepada diri sendiri! Orang yang sakit justeru harus lebih mendekatkan diri kepada Allah dan menunaikan solat sedaya upaya yang dia mampu.Demikian juga dengan orang yang tengah dalam perjalanan, kerana Islam sudah memberikan banyak kemudahan bagi musafir untuk mengerjakan solat, samaada melalui kemudahan Jama’ (menghimpunkan) atau mengqoshor (memendekkan) solat. Sehingga TIDAK ADA satu pun alasan bagi siapapun untuk meninggalkan solat.

50.

Tidak mahu hadir dalam majlis-majlis ilmu agama demi menambah lagi kefahaman dan pengetahuan dirinya tentang Islam, khasnya berkenaan dengan perkara solat.

Rasulullah S.A.W. bersabda: ”Menuntut Ilmu itu adalah WAJIB bagi setiap Muslim! (HR. Muslim).
Hadis di atas menjelaskan hukum bahawa menuntut ilmu itu adalah WAJIB, apalagi jika tanpa ilmu tersebut akan membuat ibadah solat kita ditolak oleh Allah, maka tentunya ianya jauh lebih diberatkan padanya hukum Wajib tersebut!

Wallahu A’lam...  

Demikianlah sedikit Islah (pembetulan) akan beberapa perkara yang berhubung kait dengan solat sebagai satu upayauntuk memperbaiki dan menyempurnakan kualiti serta Nilai ibadah solat kita di hadapan Allah S.W.T.

Solat itu Nikmat, jika ditunaikan dengan penuh keikhlasan.
Solat itu Indah, jika dikerjakan dengan segala kesempurnaan.
Solat itu Menyeronokkan, jika dijadikan sebagai satu Keperluan dalam  kehidupan.
Solat itu Menghiburkan, jika dikerjakan dengan tanpa bebanan.
Solat itu menyihatkan, jika dikerjakan sesuai dengan panduan.

Ilmu tanpa Iman Menghancurkan,
Iman tanpa Ilmu Menyesatkan.

Kuala Lumpur, Khamis December 12, 2013

Al.Faqir ilaa ’Afwi Robbih


lbnu Jamil Al.Banjary

Comments

Popular Posts